Suami penyabar bukan sahaja
menaikkan nilai wibawanya di hati isteri bahkan di pandangan Allah SWT jua.
Rasulullah SAW Mencontohkan Sifat Sabar Terhadap Isteri
Di dalam buku Purnama Madinah
karya Ibn Saad, Bandung , Mizan 1997, muka surat 173, ada tercatat sebuah hadis
yang berbunyi, Umar pernah berkata,
“Ya Rasul, mahukah
engkau mendengar aduan saya? Kami kaum Quraisy biasa menguasai isteri kami.
Kemudian kami pindah ke sebuah masyarakat (Madinah) di mana lelaki tunduk diam
pada isteri mereka. Kemudian kaum perempuan kami meniru perilaku perempuan
Ansar ini. Suatu hari saya menegur isteri saya dan dia menjawab balas. Saya
tidak menyukai perilaku seperti itu. Dan dia berkata, ‘Apakah kanda tidak
menyukai dinda menjawab? Demi Allah, para isteri Rasullullah menjawab balas
baginda. Sebahagian mereka mendiamkan baginda sepanjang hari sampai malam.’
Saya (Umar) lalu berkata, ‘Dia rugi. Apakah dia merasa aman dari kemurkaan
Allah kerana kemarahan Rasulnya sehingga dia mendapat hukuman?’” Nabi tersenyum
dan tidak menjawab aduan daripada Sayidina Umar itu. (Hadis riwayat
al-Bukhari dan Muslim).
Rasulullah SAW tidak mengiyakan
ataupun menidakkan perkataan Umar. Isteri juga mempunyai suara dan pendapat
yang harus didengari suami. (Cuma perbincangannya haruslah dengan hikmah).
Al-Hafizh Ibnu Hajar berkata, “Dari hadis tersebut dapat diambil pelajaran
bahawa terlalu keras terhadap isteri bukanlah sikap yang terpuji. Sebab,
Rasulullah SAW sendiri meniru sikap orang Ansar dalam memperlakukan wanita
mereka dan meninggalkan sikap kaum baginda sendiri.”
Umar Mencontohi Kesabaran Rasulullah SAW Terhadap Leteran Isteri
Seorang lelaki datang ke rumah
Umar bagi mengadu perihal isterinya yang suka berleter. Tatkala sampai, dia
mendengar Umar sedang dileteri isterinya. Umar tidak menjawab sepatah pun.
Lelaki itu beredar sambil berkata, “Kalau
beginilah keadaan Umar, seorang Amirul Mukminin yang selalu keras dan tegas,
maka bagaimana pula dengan aku?”
Selepas itu Umar keluar dari
rumahnya lalu terlihat lelaki tadi beredar. Umar memanggilnya dan bertanya
tujuan kedatangannya. Lelaki itu berkata, “Wahai
Amirulmukminin,tujuan kedatanganku adalah untuk mengadu berkenaan perangai
buruk isteriku yang suka berleter. Tadi aku baru sahaja mendengar isterimu juga
begitu. Lalu aku berkata kepada diriku, kalau begini keadaan Amirulmukminin
dengan isterinya, maka bagaimana dengan aku?”
Umarpun berkata kepadanya, “Wahai saudaraku! Sesungguhnya aku bersabar mendengar
leterannya kerana dia mempunyai hak ke atasku. Sesungguhnya dia memasak makanan
untukku, mengadun roti untukku, membasuh pakaianku dan menyusui anakku, padahal
semua itu tidak diwajibkan ke atasnya. Dia juga menenangkan hatiku daripada
melakukan perbuatan yang haram (zina). Sebab itulah aku bersabar dengan
kerenahnya.”
Lelaki itu menjawab, “Wahai Amirulmukminin, demikian jugalah isteriku.”
Umar berkata, “Maka bersabarlah wahai saudaraku. Sesungguhnya kerenahnya
tidak lama. Hanya seketika sahaja.”
Rasulullah SAW sendiri telah
mengingatkan,
“Janganlah seseorang
yang beriman (lelaki) membenci seorang (isterinya yang) beriman (perempuan),
kerana walaupun ada satu perangainya yang lelaki itu tidak suka, tetapi (tentu)
ada lain perangainya yang dia suka.”(Riwayat Muslim dan Ahmad)
No comments:
Post a Comment