|
Majlis Walimah |
Majlis perkahwinan perlu jadi medan mengukuhkan silaturahim serta mengikut batas hukum Islam. - Gambar hiasan
Jemputan wajib hadir rai pengantin walaupun berpuasa
Pasangan
yang berkahwin disunatkan mengadakan majlis kenduri atau walimah untuk
mengisytiharkan ikatan perkahwinan mereka di samping melahirkan rasa
kesyukuran kepada Allah SWT.
Majlis kenduri sebenarnya bukan sekadar menjemput tetamu
menikmati juadah dihidangkan, tetapi ada kaitannya dengan ibadah kepada
Allah SWT. Kebanyakan ulama berpendapat mengadakan majlis walimah
hukumnya sunat muakkad, amalan amat dituntut dalam Islam.
Meraikan adat perkahwinan hukumnya adalah harus
selagi tidak membawa dosa kepada Allah SWT. Jangan sekali mencampurkan
majlis dengan aktiviti bertentangan agama”
Malah sebahagian ulama seperti mereka yang bermazhab al-Zhahiri
menyatakan hukum mengadakan walimatul urus atau kenduri perkahwinan
adalah wajib seperti pandangan sebahagian ulama bermazhab Syafi’e dan
Hambali.
Diriwayatkan oleh Anas bin Malik, direkodkan oleh Imam
Muslim dan Imam al-Bukhari, Nabi SAW telah menyembelih seekor kambing
ketika Baginda berkahwin dengan isterinya, Zainab binti Jahsy.
Direkodkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, Nabi SAW menyuruh ‘Abdul
Rahman bin Auf mengadakan kenduri ketika perkahwinan beliau walaupun
dengan seekor kambing. Sabda Baginda SAW: “Adakan kenduri walaupun hanya
dengan seekor kambing.”
Ketika Ali memperisterikan puteri
Rasulullah SAW, Fatimah, Baginda bersabda: “Bagi sesuatu perkahwinan itu
‘walimah’ (kenduri).”
Dianjurkan Islam
Mengadakan kenduri
perkahwinan walaupun secara kecil-kecilan adalah dianjurkan dalam Islam.
Oleh itu, disunatkan bagi sesiapa yang melangsungkan majlis perkahwinan
mengadakan jamuan dan menjemput orang lain untuk menghadiri majlis itu.
Pada pandangan Imam Ahmad bin Hanbal, disunatkan mengadakan
majlis kenduri pada hari kedua-kedua pengantin diijabkabulkan. Menurut
Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah pula, digalakkan pasangan pengantin
mengadakan kenduri perkahwinan setelah mereka bersama.
Imam
al-Mardawi pula menyatakan waktu disunatkan mengadakan majlis kenduri
adalah luas iaitu bermula dari hari akad sehinggalah berakhirnya
hari-hari perkahwinan (mengikut adat masyarakat).
Hukum penuhi undangan
Bagi mereka yang diundang ke majlis kenduri perkahwinan hendaklah
memenuhi undangan itu. Ulama berpendapat hukum memenuhi undangan
perkahwinan atau apa saja undangan selagi tidak membawa kepada
kemaksiatan serta tidak ditegah Nabi SAW adalah wajib.
Daripada Ibnu Umar, beliau mendengar Nabi SAW bersabda: “Penuhilah undangan jika kamu telah dipanggil.” (Riwayat al-Bukhari).
Seseorang Muslim yang diundang oleh saudara Muslim lain wajib
menghadirinya jika tiada sebarang halangan mahupun keuzuran. Walaupun
seseorang itu berpuasa penuhilah undangan dan dia dibenarkan meneruskan
puasanya atau memilih untuk berbuka bagi puasa sunat.
Nafi’
telah menjelaskan, sahabat Nabi SAW, Abdullah bin Umar akan memenuhi
sesuatu undangan tidak kira undangan perkahwinan atau selainnya walaupun
dalam keadaan berpuasa. Dalam Fathul Bari juga dinyatakan beliau (Ibnu
Umar) akan memenuhi undangan majlis kenduri dalam keadaan berpuasa
dengan hanya bertemu dan mengucapkan doa Nabi SAW kepada pasangan
pengantin.
Elak majlis dicemari dosa
Perkara
penting perlu diketahui oleh setiap orang yang mengadakan majlis kenduri
perkahwinan mahupun mereka yang hadir adalah berusaha mengelakkan
majlis dicemari perkara mendatangkan dosa.
Antara yang perlu
dititikberatkan, kedua-dua pasangan pengantin perlu menjaga adab seperti
tidak mendedahkan aurat serta tidak bersalaman dengan mereka yang bukan
mahram. Begitulah juga dengan tetamu Muslim yang diundang perlu menjaga
batasan hukum agama.
Meraikan adat perkahwinan hukumnya
adalah harus selagi tidak membawa dosa kepada Allah SWT. Jangan sekali
mencampurkan majlis dengan aktiviti bertentangan agama seperti acara
menolak bala, tarian bercampur lelaki dan wanita.
Tidak salah
untuk memasang muzik mahupun lagu hiburan selagi mana tidak membawa
kepada kemaksiatan. Namun disarankan muzik yang dipasang itu lebih
berkonsepkan nasihat dan tidak terlalu kuat hingga mengganggu
keharmonian majlis perkahwinan.
Perkara lain perlu dipelihara
ialah pembaziran. Walaupun tidak salah mengadakan kenduri secara
besar-besaran tetapi jangan terlalu boros hingga terpaksa berhutang.
Anjurkan majlis kenduri mengikut kemampuan.
Majlis diberkati, sebagai ibadat
Alangkah bertuahnya apabila majlis kenduri yang diadakan atau kita
hadiri diberkati serta dikira sebagai ibadat kerana dapat mengeratkan
silaturahim, memaklumkan ikatan perkahwinan yang baru termeterai dan
bersedekah kepada tetamu.
Sebaik-baik doa diucapkan kepada
pasangan yang berkahwin: “Semoga Allah memberkatimu serta menghimpunkan
kamu berdua dalam kebaikan.” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)
Ditulis oleh Muhammad Asyraf-Bharian